SELANGOR FC
BERITA

Pelancaran Rasmi Jersi Away SFC 2024/25 & Edisi 'ELITE' Terbaru

Mar 22, 2024 - FAS

Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) hari ini melancarkan jersi Away bagi musim 2024/25 secara digital di semua platform rasmi media sosial Selangor FC.

Direka dengan pemilihan warna kuning sebagai warna utama, jersi Away 2024/25 ini melambangkan kecemerlangan serta keyakinan pasukan pada musim lalu yang telah layak ke Liga Juara-Juara (ACL2) 2024. Sentuhan warna biru pekat pula menunjukkan kesatuan pasukan untuk mencapai kejayaan dalam menempuhi kancah bola sepak 2024/25 yang bakal dilalui. Manakala,  warna putih yang simbolik dengan permulaan baharu, sesuai dengan perubahan serta pembaharuan yang telah dilakukan bagi memperkuatkan lagi pasukan untuk musim ini.

Untuk rekod, ini kali pertama Selangor FC mengenakan warna kuning untuk jersi Away di bawah naungan Pengerusi Selangor FC, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj sejak tahun 2019 dan kali terakhir jersi Away berwarna kuning adalah pada musim 2017, selain pernah digunakan sekitar tahun 1980an.

Jersi ini juga dipadankan dengan motif yang diinspirasikan dari bentuk logo Selangor FC yang menjadi ‘Lambang Kebanggaan’, juga merupakan kata-kata azimat yang menunjukkan kesatuan atas dasar cinta dan kebanggaan bagi pasukan serta penyokong kelab Gergasi Merah. Selain itu, jalur berwarna merah kuning yang dijahit kemas pada bahagian belakang kolar jersi ini telah diinspirasikan dari barisan penyokong Gergasi Merah yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada pasukan dalam memberikan sokongan padu tidak kira jatuh dan bangun pasukan.

Musim 2024/25, Selangor FC dan Joma telah tampil dengan nafas baru, memperkenalkan tiga jenis koleksi iaitu Joma Elite, Replika (yang dulu dikenali sebagai ‘Player Issue’) dan ‘Fans Issue’. Mendahului senarai ‘tier’ tertinggi, Joma Elite dihasilkan dengan menggunakan fabrik yang berkualiti tinggi serta ringan bagi memaksimakan keselesaan para pemain untuk beraksi dalam intensiti tinggi dengan lebih selesa di atas padang. Koleksi Joma Elite juga telah direka dengan beberapa kelainan yang tidak ada pada koleksi Replika dan Player Issue, bagi membezakan harganya yang bernilai RM249 berbanding Replika RM149.

Antara kelainan yang ada pada koleksi Joma Elite jersi Away ini adalah tenunan berbentuk Keris Panjang Beruk Berayon dan Keris Terapang Gabus; diilhamkan daripada jata negeri Selangor yang terdapat pada logo Selangor FC. Tenunan ini menjadi kelainan utama pada jersi Away kali ini kerana tenunan tersebut tidak ada pada jersi Replika dan ‘Fans Issue’. Selain itu, logo Selangor FC dan logo Joma juga menggunakan material yang lebih baik daripada koleksi lain. Seterusnya, ‘patch’ bertulisan ‘ELITE’ diletakkan di bahagian bawah kiri jersi yang juga merupakan antara logo utama jenama Joma sebagai kesinambungan hubungan kerjasama di antara Selangor FC dan Joma yang telah berusia lima tahun.

Untuk menghasilkan jersi koleksi Joma Elite ini, beberapa proses telah dilakukan secara terperinci. Bermula dengan proses tenunan keris menggunakan teknologi terbaru Joma di kilang khas pembuatan teknik tenunan. Kemudian, fabrik tersebut dihantar ke kilang lain yang menumpukan hanya kepada pewarnaan sahaja, daripada warna putih ke warna kuning. Selesai proses pewarnaan, kemudian dihantar ke kilang untuk proses pemotongan dan jahitan mengikut pola yang bersesuaian mengikut saiz pemain. Seterusnya, penghasilan logo-logo, ‘patch’ Elite, kolar dan lengan baju termasuk tag di baju dihasilkan di kilang yg sama. Manakala, kotak atau ‘packaging’ bagi setiap pembelian koleksi Joma Elite telah direka khas seiring dengan kualiti yang dihasilkan untuk koleksi ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, “Alhamdulillah, kita terus bersama Joma untuk musim ini. Jadi, sempena lima tahun bersama Joma, kami bersepakat untuk mengeluarkan koleksi terbaru yang dipanggil Joma Elite, sesuatu yang istimewa untuk semua. Jersi pada masa kini di bukan sahaja untuk dipakai oleh para pemain di padang dan penyokong semasa menonton perlawanan di Stadium tetapi boleh juga dijadikan sebagai pakaian harian. Oleh itu, kami sebulat suara untuk mengeluarkan jersi ‘Away’ ini pada bulan Ramadan bagi memberi pilihan khas untuk dijadikan sebagai koleksi baju raya bagi para penyokong Gergasi Merah.”

Pihak pengurusan Selangor FC berharap jersi Away musim 2024/25 yang bertemakan Lambang Kebangaan ini dapat menyuntik semangat perjuangan yang tinggi di kalangan pemain serta para penyokong untuk membawa kejayaan demi kejayaan kepada Selangor FC tahun di Liga Malaysia dan ACL2 2024/25.

Dapatkan jersi Away baharu Selangor FC anda di SelangorFC.com dengan segera!

Demi Kebanggaan!